Tuesday, November 3, 2009

HIDUP INI.......

Assalamualaikum....aku dilahirkan 50 tahun yang lalu. Kini, telah mengharungi kehidupan rumah tangga selama lebih kurang 25 tahun. Mempunyai 4 orang anak yang kesemuanya adalah PUTERI. Setelah anak besar seorang demi seorang, tamat sekolah seorang demi seorang aku tambah memahami perjalanan hidup ini.
Puteri sulung ku kini berumur 24 tahun (dilahirkan pada tahun 1985). Telah berumahtangga setahun yang lalu, dikurniakan seorang anak lelaki. Sekaligus bermakna aku telah mempunyai cucu lelaki. Apa yang dikata, ada hikmah disebalik empat orang anak perempuan, tiada seorang pun lelaki akhirnya terjawab juga. Cucu sulungku seorang lelaki. Semoga kelahirannya menjadikan keluarga kami lebih bahagia dan bermakna.
Puteriku yang kedua (mak ngah) adalah satu-satunya anak yang banyak memahami - walaupun garang selalu. Dialah tempat aku bercerita tentang 'kehidupan' dan masalah seharian. Aku masih ingat semasa kami akan mengadakan majlis perkahwinan untuk anak yang sulung. Mungkin kerana pertama kali, banyak perkara yang perlu dibuat. Dialah pembantu yang kesana kemari bersama aku. Membeli persiapan dan sebagainya. Sehingga pada hari majlis dilangsungkan, dialah orang kanan aku. Masa kini dia telah bekerja dan masih belum bersedia untuk membina keluarga sendiri.
Berbeza dengan kedua anak yang pertama dan kedua, membesarkan anak ketiga penuh cabaran
dan dugaan. Selalu menangis semasa kecil, dizaman persekolahan selalu ponteng dan untuk menamatkan tingkatan lima puas dipujuk-pujuk, akhirnya tamat juga sekolah dengan SPM yang cukup-cukup makan. Sekarang telah pun bernikah dengan jejaka pilihan hatinya. Telah pun ada seorang anak lelaki (cucu ku yang kedua). Semoga kebahagiaannya kekal selamanya, amin.
Tidak adil kalau tidak berkesah tentang puteri ku yang bungsu (adik). Dengan panggilan manja adik hingga sekarang. Telah tama persekolahan tingkatan lima, akan menyambung pelajaran di Politeknik Port Dickson Januari 2010. Sepanjang membesarkannya berjalan dengan mudah dan ceria. Menghabiskan dunia kanak-kanaknya dengan menyusu badan selama 4 tahun (malu jika diceritakan).
Itulah anak-anak ku seramai empat orang. Suami ku seorang yang penyayang, walau tidak pernah mempamerkan sayangnya (tak pernah memberi bunga, walau dihari lahir) - aku tahu. Yang paling aku kagumi dia sering boleh membaca apa yang terlintas difikiran ku. Walau pun orangnya agak kasar, baran tetapi semakin lama hidup bersama dia semakin memahami dan banyak perubahannya, aku amat bersyukur.
Aku telah bertugas sebagai kerani sekolah(pembantu tadbir) selama lebih kurang 28 tahun. Kalau dulu-dulu dah boleh pencen, tetapi telah memilih opsyen bersara ketika berumur 58 tahun (bermakna 8 tahun lagi). Berbagai-bagai pahit manis dalam dunia pekerjaan yang aku lalui. Tetapi alhamdulillah, semuanya menjadikan aku lebih matang. Semoga aku akan kuat dan tabah untuk meneruskan pekerjaan seharian dengan penuh keikhlasan.

No comments:

Post a Comment