Wednesday, November 18, 2009

kenangan terindah



Assalamualaikum...majlis jamuan akhir tahun tempat kerja baru. Aku membawa semua sama-sama menghadiri jamuan berkenaan. Suami, 4 orang anak, dua orang menantu dan 2 orang cucu. Makan malam di Cruise yang bergerak perlahan selama lebih kurang 2jam.

Kadang-kadang dalam hidup ini sememangnya banyak perkara yang perlu disyukuri. Tepat janji Allah, kalau kita selalu bersyukur nikmat kita akan ditambah. Aku rasa dalam hidup ini, memang sentiasa bersyukur, dengan umur dengan rezki dan dengan kebahagiaan keluarga yang aku ada. Yang paling penting, menerima apa yang berlaku di dalam hidup ini dengan seadanya. Rezki yang sedikit sama dikongsi, yang banyak sama dibahagi. Aku memang tak punya harta untuk dibahagikan, cukup dengan kasih sayang yang ikhlas kepada semua tanpa pilih kasih...
Setiap selepas solat lima waktu sehari, doa ku agar suami, ibu, dan anak-anak ku, Nur Azhida, Ida Nadia, Farahin dan Emielia dijadikan anak-anak yang solehah, anak-anak yang cemerlang didunia dan diakhirat, anak-anak yang berjaya didunia dan diakhirat, anak-anak yang berguna kepada diri sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara, begitu juga dengan menantu2 ku dan cucu2ku .....



Thursday, November 5, 2009

SEKELUMIT MEMORI

Assalamualaikum....semalam dijemput menghadiri jamuan akhir tahun di tempat kerja lama. Berjumpa dengan teman-teman sekerja yang lama. Aku bekerja di situ sejak 16 Februari 2003 hingga Jun 2009. Tempat ketiga aku bertugas. Diarah bertukar ke tempat kerja baru kerana kenaikan gred jawatan (naik pangkat sikit je...)
Seronok berjumpa dengan semua, teringat sewaktu bersama dulu, tapi segalanya tinggal kenangan. Semoga kalian akan turut mengenang memori indah tika kita bersama. Jamuan makan malam diadakan di Tanjung Puteri Resort.

Tuesday, November 3, 2009

HIDUP INI.......

Assalamualaikum....aku dilahirkan 50 tahun yang lalu. Kini, telah mengharungi kehidupan rumah tangga selama lebih kurang 25 tahun. Mempunyai 4 orang anak yang kesemuanya adalah PUTERI. Setelah anak besar seorang demi seorang, tamat sekolah seorang demi seorang aku tambah memahami perjalanan hidup ini.
Puteri sulung ku kini berumur 24 tahun (dilahirkan pada tahun 1985). Telah berumahtangga setahun yang lalu, dikurniakan seorang anak lelaki. Sekaligus bermakna aku telah mempunyai cucu lelaki. Apa yang dikata, ada hikmah disebalik empat orang anak perempuan, tiada seorang pun lelaki akhirnya terjawab juga. Cucu sulungku seorang lelaki. Semoga kelahirannya menjadikan keluarga kami lebih bahagia dan bermakna.
Puteriku yang kedua (mak ngah) adalah satu-satunya anak yang banyak memahami - walaupun garang selalu. Dialah tempat aku bercerita tentang 'kehidupan' dan masalah seharian. Aku masih ingat semasa kami akan mengadakan majlis perkahwinan untuk anak yang sulung. Mungkin kerana pertama kali, banyak perkara yang perlu dibuat. Dialah pembantu yang kesana kemari bersama aku. Membeli persiapan dan sebagainya. Sehingga pada hari majlis dilangsungkan, dialah orang kanan aku. Masa kini dia telah bekerja dan masih belum bersedia untuk membina keluarga sendiri.
Berbeza dengan kedua anak yang pertama dan kedua, membesarkan anak ketiga penuh cabaran
dan dugaan. Selalu menangis semasa kecil, dizaman persekolahan selalu ponteng dan untuk menamatkan tingkatan lima puas dipujuk-pujuk, akhirnya tamat juga sekolah dengan SPM yang cukup-cukup makan. Sekarang telah pun bernikah dengan jejaka pilihan hatinya. Telah pun ada seorang anak lelaki (cucu ku yang kedua). Semoga kebahagiaannya kekal selamanya, amin.
Tidak adil kalau tidak berkesah tentang puteri ku yang bungsu (adik). Dengan panggilan manja adik hingga sekarang. Telah tama persekolahan tingkatan lima, akan menyambung pelajaran di Politeknik Port Dickson Januari 2010. Sepanjang membesarkannya berjalan dengan mudah dan ceria. Menghabiskan dunia kanak-kanaknya dengan menyusu badan selama 4 tahun (malu jika diceritakan).
Itulah anak-anak ku seramai empat orang. Suami ku seorang yang penyayang, walau tidak pernah mempamerkan sayangnya (tak pernah memberi bunga, walau dihari lahir) - aku tahu. Yang paling aku kagumi dia sering boleh membaca apa yang terlintas difikiran ku. Walau pun orangnya agak kasar, baran tetapi semakin lama hidup bersama dia semakin memahami dan banyak perubahannya, aku amat bersyukur.
Aku telah bertugas sebagai kerani sekolah(pembantu tadbir) selama lebih kurang 28 tahun. Kalau dulu-dulu dah boleh pencen, tetapi telah memilih opsyen bersara ketika berumur 58 tahun (bermakna 8 tahun lagi). Berbagai-bagai pahit manis dalam dunia pekerjaan yang aku lalui. Tetapi alhamdulillah, semuanya menjadikan aku lebih matang. Semoga aku akan kuat dan tabah untuk meneruskan pekerjaan seharian dengan penuh keikhlasan.